Tarikh : 02 September 2014
"Peraturan baru berkuatkuasa mulai Januari 2015"
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Datuk Dr Laurentius Ambu
berkata, semua pemandu pelancong yang beroperasi di kawasan hidupan liar di
negeri ini perlu mendapatkan permit operator pelancongan dan permit pemandu
hidupan liar bermula Januari 2015.
Menurut beliau, sebagai permulaan dua permit berkenaan akan
dikuatkuasakan di kawasan Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.
Katanya, langkah itu diambil berikutan rungutan daripada
pengusaha pelancongan yang mendakwa terdapat pemandu pelancong tidak berlesen
dan tidak bertauliah beroperasi di kawasan itu.
“Bagaimanapun, permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Hidupan
Liar ini hanya untuk operator yang berdaftar dengan Persatuan Operator Pelancongan Koridor Kehidupan Kinabatangan (KiTA)
dan Persatuan Pemandu Pelancong Sabah (STGA), selain telah mengikuti
beberapa kursus oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah yang layak mendapatkan lesen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Seminar Prosedur Operasi
Eko-Pelancongan di Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan di Sepilok Jungle
Resort, di sini kelmarin.
Ketika ini, pemandu pelancong di Kinabatangan hanya mempunyai
permit yang dikeluarkan oleh STGA.
Pemilikan permit bertujuan mengurangkan aktiviti operasi
eko-pelancongan negatif selain menjamin keselamatan pelancong dengan mengikuti
polisi sedia ada di Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.
Selaras Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, di bawah
Seksyen 76(1), operator yang melanggar sub-seksyen itu boleh dikenakan atas
sabitan denda RM20 ribu atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, beliau berkata lebih ramai pelancong akan
datang ke kawasan eko pelancongan di Kinabatangan berikutan ia adalah
sebahagian daripada kawasan Ramsar selain wujudnya pusat konservasi gajah di
Lot 8, Kinabatangan.
Lebih 100 peserta terdiri pengusaha pelancongan dan pemandu
pelancong mengikuti seminar sehari itu yang diisi dengan ceramah yang
disampaikan oleh Datuk Doktor Laurentius Ambu, Presiden KiTA, Alexander Yee Kok
Tsen dan Presiden STGA, Grace Leong selain sesi soal jawab bersama peserta.
No comments:
Post a Comment