Tuesday 24 June 2014

Industri Pelancongan Di Sabah

Industri Pelancongan Di Sabah Berkembang Positif

by Suraidah Roslanhadieydah18@yahoo.com. Posted on July 5, 2013, Friday   The Borneo Post

KOTA KINABALU: Di sebalik insiden pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu, industri pelancongan di negeri ini masih menunjukkan perkembangan positif dari segi jumlah ketibaan pelancong. Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Industri, Datuk Raymond Tan berkata melihat kepada peningkatan jumlah pelancong yang semakin baik, beliau percaya industri pelancongan di negeri ini akan meningkat.

Katanya, pada tahun ini sasaran ketibaan pelancong datang ke Sabah adalah seramai 3 juta orang dan daripada jumlah itu, ia dijangka akan menyumbang sebanyak RM5.4 bilion kepada industri pelancongan. Pada tahun lalu, ketibaan pelancong ke negeri ini adalah seramai 2.84 juta dengan jumlah penerimaan pelancong hampir RM5.2 bilion. Oleh itu, beliau berharap orang ramai melupakan insiden yang berlaku di Lahad Datu kerana ia sudah berakhir. “Pujian harus diberi kepada anggota keselamatan yang terlibat dalam menjaga keselamatan di negeri ini. “Walaupun kita tidak dapat menjaga keselamatan setiap pelancong tetapi kita akan memastikan tempat kita selamat terutama dengan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esszone) untuk memastikan keselamatan negeri ini terjamin. “Keadaan di Lahad Datu juga sudah kembali seperti biasa yang mana kehidupan masyarakat di sana kembali normal seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta Fair 2013), di Suria Sabah, di sini kelmarin. Menyentuh mengenai Matta Fair 2013 itu, Tan berkata pameran itu sudah semakin berkembang dan menjadi salah satu pameran utama pelancongan di seluruh negara. “Adalah menjadi harapan saya agar pameran itu akan terus berkembang dan menjadi salah sebuah acara tahunan di Sabah. “Saya mengalu-alukan penganjuran pameran seperti ini kerana ia menjana perkembangan pernigaan dalam bidang pelancongan serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi,” katanya. Beliau berkata, Matta Fair tahun ini diharap lebih baik berbanding tahun sebelumnya dan ia boleh dilihat dari segi jumlah gerai pameran yang bertambah dua kali ganda kepada 100 buah gerai berbanding tahun lalu.

Katanya, Sabah mempunyai hutan, pulau dan juga gunung yang begitu cantik, namun ia terpulang kepada ejen pelancongan bagaimana mereka ingin menyediakan pakej untuk ditawarkan bagi menarik pelancong datang ke sini. Dengan itu, standard yang sedia ada perlu ditingkatkan untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini. Tan berkata, melalui pameran itu juga orang ramai berpeluang untuk mengetahui tawaran pakej pelancongan yang disediakan oleh ejen pelancongan serta syarikat penerbangan yang mengambil bahagian dalam pameran itu.

Dalam pada itu, beliau berkata industri pelancongan di Asia Timur dan wilayah Pasifik terus menyumbang kepada pertumbuhan global dan ia menyumbang sebanyak 40 peratus pada tahun lepas. Menurut Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Irene Charuruks berkata berdasarkan jumlah kedatangan pelancong sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun ini (Jan-Mei), ia meningkat sebanyak 14.8 peratus iaitu daripada 1,014,543 pada tahun 2012 kepada 1,164,453 tahun ini.
Dari segi kedatangan pelancong pula, seramai 1.25 juta orang pelancong telah berkunjung ke negeri ini dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 9.8 peratus. Daripada jumlah itu, pelancong dari China dan Hong Kong yang datang ke negeri ini menunjukkan peningkatan sebanyak 77.3 peratus, iaitu daripada 71,152 kepada 126,150 orang. Selain China, jumlah pelancong yang menunjukkan peningkatan yang ketara berkunjung ke negeri ini adalah dari Jepun, iaitu meningkat sebanyak 38 peratus, dari 8,839 orang kepada 12,202 orang. Kemudian diikuti dengan pelancong dari Korea Selatan. Pelancong dari Korea Selatan yang datang ke negeri ini meningkat sebanyak 33.9 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun 2012. Daripada seramai 30,137 orang pelancong dari Korea Selatan ke Sabah, ia meningkat kepada 40,344 orang.




No comments:

Post a Comment