Thursday 19 June 2014

Pelaburan merupakan aspek sumber manusia masa kini.

Pelaburan aspek sumber manusia
Posted on June 19, 2014, Thursday

PELARAS usaha melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, aspek pendidikan berperanan utama dalam memperkembangkan potensi individu.
Jika diberi peluang yang sepatutnya, individu mampu memperkembangkan potensi diri ke tahap yang lebih cemerlang.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Said berkata, pertumbuhan dan perkembangan yang berlaku ke atas individu lahir daripada proses pendidikan melibatkan intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Katanya, aspek pendidikan dan latihan adalah asas kejayaan ke arah pembangunan modal insan yang cemerlang.

 “Pelaburan dari aspek pendidikan dan latihan penting terhadap sumber manusia kerana individu tidak akan dapat menggunakan potensi diri ke tahap maksimum jika tidak digilap dengan sewajarnya.

“Sehubungan itu, melalui pendidikan, bukan sahaja potensi diri dapat dibangunkan, malah pengetahuan dan kemahiran lain turut dapat diserapkan secara tidak langsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Pengurusan dan Profesional Kinabalu III 2014 anjuran Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional (Bukan Akademik) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini kelmarin.

Menurutnya, teras utama dalam Pembangunan Modal Insan (PMI) adalah melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem penyampaian pendidikan dan latihan supaya berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa.Katanya, pernyataan berkenaan menjelaskan salah satu asas untuk membangunkan dan memperteguhkan modal insan adalah melalui pendidikan.

Salleh berkata, strategi pengurusan modal insan perlu proakrif dan kreatif untuk mengekalkan dan menarik pekerja yang berbakat.“Jumlah penduduk negara yang semakin bertambah hari ini wajar diberi perhatian kerana ia menjadi tanggungjawab negara memastikan rakyat dapat menyumbang kepada pembangunan negara.
“Pembangunan modal insan negara dewasa ini memperlihatkan status kepincangannya dan ia perlu diperhalusi semula.“Justeru, apa sahaja strategi dan program pembangunan yang dilaksanakan seharusnya mengambil kira terhadap fokus manusia itu sendiri,” katanya.

Selain itu beliau berkata, dalam perkhidmatan awam, terdapat dua set nilai murni untuk dibudayakan iaitu nilai teras dan nilai kembangan atau sokongan.
Menurutnya, nilai teras mengandungi enam elemen murni iaitu amanah, bijaksana, benar, telus, adil, dan bersyukur. Manakala nilai kembangan adalah nilai tambahan  yang bersesuaian dengan tugas teras atau aktiviti induk agensi.Salleh berkata, setiap penjawat awam adalah ejen transformasi paling hadapan dan perantaraan antara rakyat dan kerajaan.“Secara sedar atau tidak, setiap tindakan dan keputusan penjawat awam hari ini diperhatikan, diperhalusi dan dianalisa serta dikritik bukan sahaja secara dalaman malah di luar negara.“Dalam era maklumat terbuka ini, tidak ada individu, jabatan, kementerian mahu pun institusi yang terlepas dari pemerhatian.“Oleh itu, usaha berterusan diperlukan untuk memastikan integriti yang tinggi bagi perkhidmatan dan pegawai sentiasa dipelihara,” jelasnya.Katanya, kapasiti dan keupayaan pegawai awam hendaklah selari dengan perkembangan semasa dan perubahan yang datang secara tidak menentu.

Beliau berkata, pegawai perlu berpandangan lebih global dan holistik terhadap sesuatu isu agar ia dapat ditangani dengan berkesan dan menyeluruh.
Persidangan berkenaan adalah sebagai medan untuk para pegawai mendapatkan dan berkongsi ilmu berkaitan pengalaman dalam melaksanakan pengurusan pentadbiran sepanjang berkhidmat dalam organisasi.Ia juga bertujuan mendapatkan idea dan pemikiran tokoh-tokoh terkemuka daripada institusi pengajian tinggi (IPT), sektor awam, swasta, serta agensi korporat di Malaysia dalam bidang pengurusan dan pentadbiran.

Pada masa sama, ia membolehkan para peserta mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang dikongsikan menerusi persidangan ini bagi peningkatan kerjaya dan memajukan organisasi ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Read more: 
http://www.theborneopost.com/2014/06/19/pelaburan-aspek-sumber-manusia/#ixzz353Xx1jw3

No comments:

Post a Comment