Tuesday 24 June 2014

Sabah Catat Kehadiran Pelancong Paling Tinggi

Sabah Catat Kehadiran Pelancong Tertinggi

by NURULAIDA FAZLIN LAMIT. Posted on February 11, 2014, Tuesday The Borneo Post
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan jumlah kehadiran pelancong yang tertinggi dalam sejarah pada tahun lalu dengan 3.38 juta orang.Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 17.6 peratus daripada jumlah kehadiran pelancong pada tahun 2012.

Daripada jumlah itu, pelancongan domestik menyumbang 68 peratus atau 2.29 juta iaitu bertambah 18.6 peratus daripada pelancongan domestik pada tahun 2012.Katanya, pertambahan dua angka itu disebabkan oleh peningkatan dalam kapasiti tempat duduk domestik dari Semenanjung Malaysia.“Ketibaan pelancong antarabangsa pula mencatatkan peningkatan positif keseluruhan iaitu pertambahan 15.7 peratus pelancong terutamanya dari Timur Laut Asia seperti China dan Hong Kong (86.7 peratus), Korea Selatan (32.1 peratus), Jepun (25 peratus), dan Taiwan (15.5 peratus),” katanya.

Daripada jumlah itu katanya, pendapatan pelancongan di Sabah pada tahun lalu direkodkan sebanyak RM6.35 juta bagi 2013 sekaligus menjadi penjana utama pendapatan di negeri ini.Jumlah pendapatan itu melebihi sasaran yang ditetapkan selama dua tahun iaitu tahun 2013 dan 2014, katanya. Masidi berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku ITIN: A Borneon Elephant, di sini kelmarin.

Menurutnya, industri pelancongan terbukti berdaya tahan, mampu bangkit dan semakin kukuh walau berhadapan cabaran terutama dari aspek keselamatan dan pengawalan. Masidi berkata, penerbangan sewa khas dari Timur Laut Asia juga menunjukkan peningkatan yang ketara apabila jumlahnya meningkat daripada 164 penerbangan sewa khas pada 2012 kepada 262 penerbangan sewa khas pada tahun 2013, sekaligus mencatatkan angka yang tertinggi di seluruh negara. “2013 terbukti menjadi tahun yang paling mencabar bagi industri ini berikutan insiden berkaitan keselamatan di Pantai Timur Sabah. “Dengan strategi yang baik, sokongan padu daripada industri serta langkah untuk mengatasi cabaran, kami akan terus menanam keyakinan dalam diri dan ini adalah pendekatan yang betul. “Bagi meraikan Tahun Melawat Malaysia 2014, kami akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan untuk menyokong destinasi kita kerana lebih daripada 90 peratus daripada pelancong yang datang menggunakan perkhidmatan penerbangan, ” jelasnya.

Oleh itu, pihaknya akan terus memanfaatkan peningkatan umum dalam kekerapan penerbangan dan laluan langsung antarabangsa ke Sabah termasuk penerbangan dari Malaysia Airlines, MASWings, AirAsia dan Malindo. “Pada tahun ini, kami menyasarkan untuk mencapai ketibaan pelancong antara 3.5 juta hingga 3.6 juta,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat pengurangan sebanyak 4.7 peratus daripada kehadiran pelancong Eropah dan Australia berikutan kerisauan ejen pelancongan untuk mendapatkan penginapan yang sentiasa penuh terutama di kawasan Kota Kinabalu.

Untuk Kota Kinabalu kata Masidi, peratusan pendudukan hotel adalah sehingga 95 peratus dan jika musim kemuncak meningkat kepada hampir 100 peratus. Dengan itu, beliau berharap mereka yang terlibat dalam industri pelancongan akan memperbanyakkan lagi pembinaan hotel bertaraf lima bintang bagi memenuhi permintaan. Katanya, kira-kira 2,000 bilik lagi diperlukan untuk memenuhi keperluan penginapan di Kota Kinabalu.

No comments:

Post a Comment