Monday 9 June 2014

Pesta Kaamatan Jalin Perpaduan Kaum Di Malaysia..

SABAH : Pesta Kaamatan jalin perpaduan kaum..


NABAWAN: Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Bobbey A. Suan, berkata Pesta Kaamatan yang diraikan setiap tahun merupakan salah satu pesta yang menjalinkan perpaduan kaum khususnya Kadazan Dusun dan Murut (KDM) dan kaum lain yang turut merayakannya.

Katanya, Pesta Kaamatan menjadi jambatan mengeratkan persaudaraan dan sikap saling menghormati budaya serta pemangkin kepada perpaduan pelbagai kaum dan kepercayaan di negara ini khususnya di Sabah.


“Justeru itu, rakyat perlu mendalami konsep keamatan kerana ia bukan sahaja yang menjurus kepada perayaan untuk mensyukuri hasil yang diperolehi sepanjang tahun dan menjadi warisan dari nenek moyang tetapi makna yang paling besar adalah memupuk semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan,” katanya semasa berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Nabawan di yang berlangsung di pentas terbuka Tamu Pekan Nabawan di sini pada Rabu.

Bobbey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan berkata, dengan tema keamatan tahun ini ‘Kebudayaan Asas Keamanan dan Persahabatan’, maka rakyat hendaklah mengutamakan keamanan sebagai asas perpaduan kaum dan kepercayaan bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian rakyat di negeri ini yang sudah sedia terjalin.

Dalam masa yang sama Bobbey turut menggesa masyarakat di daerah ini supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah yang telah disyorkan oleh kerajaan kepada mana-mana jabatan dan agensi kerajaan.

Katanya, masyarakat khususnya golongan petani juga perlu berhemah apabila berbelanja bagi membolehkan mereka membelanjakan kewangan bagi keperluan-keperluan keluarga sahaja.

Hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Radin Malleh; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ellron Alfred Angin; Senator Datuk Dr. Lucas Umbol; mantan Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Taimin Lumaing; Pegawai Daerah Nabawan, Fredian Gan, selaku Pengerusi sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah, Ketua Daerah Nabawan, OKK Sayau Tangkap; Timbalan Ketua Umno Bahagian Pensiangan, Abie Wednes Gamboi; Ketua Pegawai Perhunungan Parlimen Pensiangan, Rayner Udong; Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Tenom, Ampalang Payu, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Sambutan pesta keamatan itu diserikan dengan persembahan kebudayaan dan lagu-lagu oleh artis-artis tempatan selain pertandingan Unduk Ngadau yang menjadi acara kemuncak

SABAHTIMES


Baca Penuh : http://djkupang.blogspot.com/2014/05/sabah-pesta-kaamatan-jalin-perpaduan.html#ixzz347A7I9D0 
Follow us: @djkupang on Twitter | djkupang on Facebook

1 comment: