Operasi Dua IPP Di Kimanis Bantu Stabilkan
Bekalan Elektrik Sabah
Sumber : The Borneo Post/10 July 2014
KOTA KINABALU: Selepas pengoperasian dua janakuasa bebas (IPP)
di Kimanis, Sabah bakal menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil bermula
Ogos depan. Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir
Khalid berkata, kedua-dua IPP itu termasuklah Kimanis Power Sdn Bhd (KPSB) dan
SPR Energy Sdn Bhd.
Menurutnya, KPSB yang mempunyai dua blok janakuasa akan mula beroperasi
pada 14 Julai manakala SPR Energy Sdn Bhd pada 31 Julai ini.“Janakuasa
berkenaan akan menghasilkan kapasiti tenaga dalam grid negeri sebanyak 280
Megawatt (MW) iaitu 180MW daripada KPSB dan 100MW menerusi SPR Energy. “Selain
itu, kita ada satu lagi blok janakuasa yang dijangka beroperasi pada Oktober
akan datang dengan kapasiti 95MW. “Sehubungan itu, jumlah kapasiti tenaga sedia
ada akan bertambah dan membantu menstabilkan bekalan elektrik di negeri ini,”
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat
Pasukan Kerja ‘Taskforce’ Perancangan dan Pemantauan Pelaksanaan Projek Bekalan
Elektrik Sabah di sini Selasa lepas. Mahdzir berkata, buat masa ini, Sabah
mempunyai kapasiti tenaga sebanyak 930MW yang dibekalkan oleh Sabah Electricity
Sdn Bhd (SESB). “Kita berusaha yang terbaik untuk menyediakan bekalan elektrik
yang stabil dan meminimumkan semua masalah yang dihadapi. “Dengan adanya margin
simpanan tenaga lebih 200MW, kita berharap masalah bekalan elektrik di Sabah
dapat dikurangkan. “Di samping itu, kita juga akan memantau semua penjanaan
yang ada di kawasan bandar lain seperti Sandakan dan Tawau untuk diperbaiki,”
katanya.
Selain itu, pihaknya turut menyasarkan Indeks Purata Gangguan Sistem
Bekalan Elektrik (Saidi) mencapai 433 minit hingga akhir tahun ini. Selepas
sidang media itu, Mahdzir turut berkesempatan meraikan anak-anak dari Rumah
Kesayangan Sembulan sempena dengan Majlis Berbuka Puasa anjuran SESB. Seramai
50 penghuni rumah berkenaan menerima sumbangan berupa duit raya dan hamper. Turut
hadir, Pengarah Urusan SESB Abd Razak Sallim.
No comments:
Post a Comment