Tuesday, 1 July 2014

DATUK JALALUDDIN ABDUL RAHMAN PESURUHJAYA POLIS SABAH BAHARU

JALALUDDIN PESURUHJAYA POLIS SABAH YANG BAHARU
HAMZA (kiri) dan Jalaluddin (kanan) pada majlis Serah Terima Tugas yang diperhatikan oleh Salleh (tengah).

KOTA KINABALU: Mantan Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman secara rasminya dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah bermula kelmarin bagi menggantikan Datuk Hamza Taib. Selepas berkhidmat selama tiga tahun lapan bulan sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, Hamza kini menggalas tanggungjawab baharu sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Bukit Aman.

Majlis Serah Terima Tugas bagi kedua-dua pihak disaksikan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam Datuk Seri Salleh Mat Rashid di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini kelmarin. Jalaluddin berkata, tanggungjawab baharu itu akan dlaksanakan berdasarkan pengalaman sedia ada. Menurutnya, setiap maklumat yang diterima akan difokuskan untuk mengadakan strategi atau pendekatan baharu. “Apa yang penting, barisan polis kontinjen Sabah perlu mantap berserta kefahaman sesama anggota polis bersama agensi yang lain. “Saya akan menggunakan pengalaman serta jaringan saya dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan terbaik,” katanya pada sidang media selepas majlis itu. Sebelum ini, beliau pernah bertugas di Sabah sebagai anggota Polis Marin sekitar tahun 1978 hingga 1990.

Anak jati Kuala Lumpur ini berharap komitmen padu dan kerjasama daripada semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya kontinjen Sabah akan membantunya melaksanakan amanah dan tanggungjawab berkenaan. Sementara itu, Hamza berkata, sepanjang bertugas di Sabah, banyak cabaran dan peristiwa yang tidak boleh dilupakannya. “Apa yang dilakukan adalah berdasarkan kemampuan saya dan setakat ini semuanya berjalan lancar dan saya harap Datuk Jalaluddin meneruskan usaha yang dilakukan untuk memartabatkan tugas polis. “Bagi saya, bekerja di mana-manapun sama sahaja dan ini adalah tahun ke-39 saya berkhidmat bersama polis,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment