Industri Pelancongan Di Sabah Berkembang Positif
KOTA KINABALU: Di sebalik insiden pencerobohan yang berlaku di
Lahad Datu, industri pelancongan di negeri ini masih menunjukkan perkembangan
positif dari segi jumlah ketibaan pelancong. Timbalan Ketua Menteri merangkap
Menteri Pembangunan Industri, Datuk Raymond Tan berkata melihat kepada
peningkatan jumlah pelancong yang semakin baik, beliau percaya industri
pelancongan di negeri ini akan meningkat.
Katanya, pada tahun ini sasaran
ketibaan pelancong datang ke Sabah adalah seramai 3 juta orang dan daripada jumlah itu, ia dijangka
akan menyumbang sebanyak RM5.4 bilion kepada industri pelancongan. Pada tahun
lalu, ketibaan pelancong ke negeri ini adalah seramai 2.84 juta dengan jumlah
penerimaan pelancong hampir RM5.2 bilion. Oleh itu, beliau berharap orang ramai
melupakan insiden yang berlaku di Lahad Datu kerana ia sudah berakhir. “Pujian
harus diberi kepada anggota keselamatan yang terlibat dalam menjaga keselamatan
di negeri ini. “Walaupun kita tidak dapat menjaga keselamatan setiap pelancong
tetapi kita akan memastikan tempat kita selamat terutama dengan penubuhan
Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esszone) untuk memastikan
keselamatan negeri ini terjamin. “Keadaan di Lahad Datu juga sudah kembali
seperti biasa yang mana kehidupan masyarakat di sana kembali normal seperti
sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian
Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta Fair 2013),
di Suria Sabah, di sini kelmarin. Menyentuh mengenai Matta Fair 2013 itu, Tan
berkata pameran itu sudah semakin berkembang dan menjadi salah satu pameran
utama pelancongan di seluruh negara. “Adalah menjadi harapan saya agar pameran
itu akan terus berkembang dan menjadi salah sebuah acara tahunan di Sabah. “Saya
mengalu-alukan penganjuran pameran seperti ini kerana ia menjana perkembangan
pernigaan dalam bidang pelancongan serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi,”
katanya. Beliau berkata, Matta Fair tahun ini diharap lebih baik berbanding
tahun sebelumnya dan ia boleh dilihat dari segi jumlah gerai pameran yang
bertambah dua kali ganda kepada 100 buah gerai berbanding tahun lalu.
Katanya, Sabah mempunyai hutan, pulau dan juga gunung yang begitu
cantik, namun ia terpulang kepada ejen pelancongan bagaimana mereka ingin
menyediakan pakej untuk ditawarkan bagi menarik pelancong datang ke sini. Dengan
itu, standard yang sedia ada perlu ditingkatkan untuk menarik lebih ramai
pelancong datang ke negeri ini. Tan berkata, melalui pameran itu juga orang
ramai berpeluang untuk mengetahui tawaran pakej pelancongan yang disediakan
oleh ejen pelancongan serta syarikat penerbangan yang mengambil bahagian dalam
pameran itu.
Dalam pada itu, beliau berkata industri pelancongan di Asia Timur dan
wilayah Pasifik terus menyumbang kepada pertumbuhan global dan ia menyumbang
sebanyak 40 peratus pada tahun lepas. Menurut Pengurus Besar Lembaga
Pelancongan Sabah (STB), Datuk Irene Charuruks berkata berdasarkan jumlah
kedatangan pelancong sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun ini (Jan-Mei),
ia meningkat sebanyak 14.8 peratus iaitu daripada 1,014,543 pada tahun 2012
kepada 1,164,453 tahun ini.
Dari segi kedatangan pelancong pula, seramai 1.25 juta orang pelancong
telah berkunjung ke negeri ini dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini dan ia
menunjukkan peningkatan sebanyak 9.8 peratus. Daripada jumlah itu, pelancong
dari China dan Hong Kong yang datang ke negeri ini menunjukkan peningkatan
sebanyak 77.3 peratus, iaitu daripada 71,152 kepada 126,150 orang. Selain
China, jumlah pelancong yang menunjukkan peningkatan yang ketara berkunjung ke
negeri ini adalah dari Jepun, iaitu meningkat sebanyak 38 peratus, dari 8,839
orang kepada 12,202 orang. Kemudian diikuti dengan pelancong dari Korea
Selatan. Pelancong dari Korea Selatan yang datang ke negeri ini meningkat
sebanyak 33.9 peratus dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding
tempoh yang sama tahun 2012. Daripada seramai 30,137 orang pelancong dari Korea
Selatan ke Sabah, ia meningkat kepada 40,344 orang.
No comments:
Post a Comment