Friday 11 July 2014

Taman Kekal Pengeluaran Makanan Di Semua Daerah Di Sabah Dalam Perancangan MAFI..

Mafi rancang bina Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di semua daerah.
Sumber : The Borneo Post/11 Julai 2014


Yahya menyampaikan bantuan zakat sumbangan Pusat Zakat Sabah kepada salah seorang penerima.


PUTATAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) bercadang membina Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di setiap daerah dalam usaha meningkatkan pengeluaran makanan di negeri ini. Bagaimanapun, disebabkan kekangan peruntukan, projek TKPM itu hanya dibina di enam kawasan sahaja pada peringkat permulaan yang mana melibatkan dua TPKM di Sandakan (TKPM Sungai Koyah dan TKPM Sungai Lokan);  TKPM Tawau; TKPM Putatan; TKPM Masilou, Kundasang; dan TPKM Mandalipau, Papar. “Rancangan memang kalau boleh ingin bina TKPM di semua daerah sebab ini bukan untuk tanam sawit. Ini hanya untuk makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai usaha dilakukan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan pengeluaran makanan di Sabah.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bantuan zakat kepada fakir, miskin dan mualaf bagi kawasan Putatan serta menyampaikan sumbangan kepada Masjid Nurul Ihsan Kampung Ketiau, di sini Rabu lalu. Untuk tahun ini, dua projek TKPM sedang dalam proses pembinaan iaitu di Putatan serta Kundasang. Projek TKPM Putatan ini terletak di Pusat Latihan Bersepadu Putatan dan ia melibatkan sejumlah RM2.3 juta bagi tujuan penyelidikan.

Setakat ini, hanya TKPM Tawau sahaja yang sudah mula beroperasi. TKPM pertama di Sabah ini sudah mengeluarkan hasil pendapatan mencecah RM1 juta sejak beroperasi pada 2010. TKPM Tawau yang terletak di Batu 15, Jalan Apas itu dibina di atas tanah seluas 93.6 hektar. TKPM adalah satu daripada Program Berimpak Tinggi yang dilaksanakan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dengan matlamat untuk mewujudkan kawasan pengeluaran makanan kekal dan melahirkan usahawan tani di samping menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam pengeluaran makanan.

Kemudian ditanya mengenai pengeluaran beras di Sabah, Yahya berkata dalam Bajet 2013 lalu, Perdana Menteri telah mengumumkan penubuhan empat Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) termasuk di Kota Belud. Untuk projek di Kota Belud, kerja-kerja pembinaan sudah mula di lakukan. Malah satu bahagian khas diwujudkan bagi mentadbir jelapang padi di kawasan itu.

Yahya dipetik berkata, penubuhan IADA adalah bagi memastikan pembangunan jelapang padi di kawasan berpotensi seluas 10,000 hektar akan lebih teurus. Katanya, melalui penaiktarafan infrastruktur pengairan dan saliran yang dilaksana dalam projek itu, ia bakal membolehkan penanaman padi dilakukan sebanyak dua kali setahun. Beliau berkata, matlamat projek bertujuan meningkatkan produktiviti padi daripada 27 peratus kepada 45 peratus dan bagi memenuhi Tahap Sara Diri (SSL) beras negeri menjelang tahun 2020. Terdahulu dalam majlis itu, Yahya menyerahkan bantuan zakat kepada 84 orang fakir, miskin dan Mualaf bagi kawasan Putatan sumbangan Pusat Zakat Sabah (PZS).

Selain itu, beliau turut menyerahkan sumbangan satu unit alat penghawa dingin, dua gulung sejadah serta satu set sistem pembesar suara kepada Masjid Nurul Ihsan. Sementara itu, ketika ditanya mengenai jika ada laporan amil (pengutip zakat) yang tidak bertauliah di daerah itu, Ketua Amil Daerah Putatan/Penampang Lamsin Anggali berkata, setakat ini tiada laporan mengenai amil tidak bertauliah yang beroperasi di sini. Malah, amil yang tidak melakukan tugas dengan baik serta tidak amanah telah disingkirkan.

No comments:

Post a Comment