Thursday 10 July 2014

Pemakanan yang seimbang dan berkhasiat,kanak-kanak juga sihat

Pemakanan Yang Berkhasiat Kanak-Kanak Juga Sihat..


Tahukah Anda?

Kita semua perlukan makanan, tetapi tahukah anda betapa pentingnya cara pemakanan yang betul. Pemakanan yang seimbang adalah perlu untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi dan kanak-kanak. Tabiat makan yang sihat adalah penting tanpa mengira peringkat umur dan tahap kecerdasan anda. Amat penting bagi ibu-ibu mengandung mengambil pemakanan yang sihat, terutamanya makanan yang kaya dengan kalsium, protein dan zat besi. Ini kerana pemakanan bayi di dalam rahim dipengaruhi oleh ibu semasa mengandung.

Emak : Ina, makanlah pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran segar dan banyakkanlah minum air agar anak di dalam kandungan sihat.

Susu ibu adalah sumber makanan yang terbaik untuk bayi. Mengandungi semua khasiat seperti protein, karbohidrat, vitamin, mineral dan asid lemak dalam imbangan yang betul. Susu ibu juga mengandungi anti bodi untuk melindungi bayi dari sebarang penyakit. Susuilah bayi anda sepenuhnya dengan susu ibu, sekurang-kurangnya dalam 4 dan 6 bulan yang pertama. Anda digalakkan meneruskan penyusuan susu ibu sehinggalah bayi mencapai usia 2 tahun. Bayi yang baru lahir haruslah disusui dengan kerap.

Lucy : Danish nampak riang dan sihat sekali
Ina : Inilah khasiat susu badan

Apabila bayi anda mencapai usia 4 – 6 bulan, perkenalkan makanan tambahan di samping susu ibu. Mulakan dengan makanan yang lembut dengan cara mengisar atau menapisnya. Bubur nasi bercampur ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran seperti betik dan bayam adalah contoh sesuai untuk anak anda. Dari 7 – 9 bulan, anda digalakkan memberi bayi anda makanan yang dilecek seperti kentang, lobak, ikan dan telur serta bubur nasi yang dimasak lebih pekat. Pada 10 – 12 bulan, anda boleh memberi bayi anda lebih banyak pilihan.
Sediakan makanan bayi anda dengan mencencang lumat daging, ayam, buah-buahan dan sayur-sayuran. Pemilihan makanan dan cara menyediakan makanan yang betul, juga mengikut sukatan yang betul, akan membantu bayi anda mendapat zat makanan yang betul seperti protein, vitamin dan mineral.
Kekurangan zat makanan boleh merencatkan pertumbuhan mental dan fizikal. Ini mengakibatkan kanak-kanak menjadi terbantut, kurang berat badan dan terdedah kepada penyakit. Bayi membesar dengan cepat dalam jangka masa 12 bulan pertama dan sekiranya zat makanan tidak mencukupi dalam tempoh tersebut, kesannya sukar dipulihkan.
Awasi perkembangan anak anda berdasarkan carta pertumbuhan. Carta pertumbuhan akan menunjukkan berat badan bayi anda berbanding berat badan piawai, selain membantu mengawasi perkembangan bayi anda. Melalui penjagaan, pemerhatian serta pemakanan yang baik, bayi anda akan membesar dengan sihat. Apabila bayi berusia 1 tahun, dia telah bersedia untuk menikmati makanan bersama keluarganya. Makanan yang sihat untuk seisi keluarga, harus berasaskan dari piramid makanan, di mana ia menunjukkan kuantiti makanan yang harus diambil dari aras yang berbeza. Pada aras 1, makanan terdiri dari bijirin dan ubi-ubian seperti nasi, jagung, gandum, keledek dan kentang. Aras 2 mengandungi buah-buahan dan sayur-sayuran seperti betik, pisang, oren, labu dan lobak. Makanan pada aras 3 terdiri daripada daging, kacang dan hasil tenusu seperti mentega dan keju. Aras 4 mengandungi lemak, minyak dan gula. Makanan untuk keluarga, haruslah mengandungi paling banyak makanan dari aras 1 dan paling sedikit di aras 4. Anda boleh memberi anak anda makanan yang serupa dengan ahli keluarga yang lain, tetapi kurangkan perasa dan rempah serta makanan hendaklah dipotong kecil-kecil. Keluarkan sebarang tulang dan biji dari makanan anak anda. Dengan makan bersama keluarga, anak anda akan berkesempatan mencuba pelbagai jenis makanan dan bergaul dengan ahli keluarga. Mereka masih perlu minum banyak susu kerana tulang dan gigi memerlukan protein dan kalsium untuk tumbesaran. Usia 2 dan 4 tahun, kanak-kanak memilih makanan yang mereka sukai. Mereka perlu digalakkan makan makanan berkhasiat. Ada beberapa cara yang anda membantu anak anda membina tabiat makan yang sihat. Makanan boleh disediakan dengan pelbagai cara masakan agar ia nampak menyelerakan.

Anak : Mama, roti tu sedap mama
Mama : Ya, rasanya sungguh lazat. Kini, mama pasti adik terus makan dan membesar dengan kuat dan sihat

Bawalah anak anda bersama ke pasar agar dapat membina tabiat mereka memilih makanan yang segar dan sihat.

Ayah : Ina, abang bawa limau, tomato. Ni abang ada beli buah sikit
Emak : Tak boleh. Adik harus membasuh dahulu sebelum memakannya
Anak : Kenapa ma?
Emak : Untuk memastikan agar ia bersih dan dijauhi kuman dan kotoran yang boleh menyebabkan adik dapat sakit, sebab itu emak selalu berpesan dengan adik agar membasuh tangan sebelum makan.
Anak : Ayah, kenapa adik gosok gigi?
Ayah : Gosok gigi supaya gigi bersih dan sihat

Apabila kanak-kanak mencapai usia pra sekolah, lebih banyak tenaga diperlukan kerana mereka lebih aktif. Sarapan pagi penting untuk memulakan kehidupan seharian.
Oleh itu, berilah anak anda makanan berkhasiat dan sempurna yang boleh memberi tenaga. Ketika makan tengah hari, kanak-kanak yang sedang membesar, memerlukan makanan yang seimbang. Sekiranya anak anda meminta snek di antara waktu makan, bantulah mereka memilih makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan, jagung, sandwic, yogurt dan biskut krim. Galakkan anak anda minum air dengan banyak dan elakkan dari air manis dan bergas.

Kanak-kanak tidak seharusnya meninggalkan waktu makan malam dan makan terlalu lewat agar mereka dapat menikmati makanan mereka. Pemakanan yang baik hari ini akan membentuk generasi yang sihat di masa hadapan.

No comments:

Post a Comment