Friday 4 July 2014

SABAH PEROLEH RM1.5 JUTA INSENTIF TAWARAN BAHARU DARIPADA KEMENTERIAN PENDIDIKAN

SABAH PEROLEH RM1.5 JUTA INSENTIF TAWARAN BAHARU

KOTA KINABALU 3 Julai - Sabah menjadi negeri ketiga tertinggi memperoleh insentif Tawaran Baharu yang disediakan Kementerian Pendidikan sebagai pengiktirafan kepada pengetua dan guru besar dalam usaha melonjakkan kecemerlangan sekolah. Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Jame Alip berkata, insentif itu melibatkan sejumlah RM1.5 juta yang bakal memanfaatkan sebanyak 22 buah sekolah di negeri ini. 

Menurut beliau, pemilihan sekolah yang layak mendapat insentif itu adalah berdasarkan lonjakan pencapaian dan pengurusan baik yang diamalkan oleh sekolah-sekolah terbabit. "Untuk insentif Tawaran Baharu itu, Sabah merupakan ketiga tertinggi selepas Selangor dan Perak yang menerimanya. Di Selangor, sebanyak 25 sekolah memperoleh insentif itu manakala 23 sekolah lagi di Perak. "Menerusi Tawaran Baharu itu, sekolah yang berjaya dipilih akan menerima insentif wang tunai daripada pihak kementerian," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini kelmarin.

Jame memberitahu, dalam `pakej insentif berkenaan, pengetua sekolah akan menerima wang tunai RM7,500 manakala lima peratus daripada keseluruhan guru dari sekolah tersebut mendapat RM1,800, guru-guru lain (RM900) dan kumpulan sokongan (RM500).
Katanya, pengiktirafan terhadap Sabah dalam jumlah penerimaan Tawaran Baharu itu ialah berdasarkan kejayaan negeri ini mencatat lonjakan besar dalam bidang pendidikan pada tahun lalu. "Pencapaian baik dalam bidang pendidikan di negeri ini merupakan hasil kerja keras guru-guru dan kerjasama erat ibu bapa bersama pihak sekolah," tambahnya.


Selain itu, katanya, pemantauan berterusan daripada pihak Jabatan Pendidikan negeri terhadap perkembangan dan prestasi sekolah juga banyak membantu Sabah mencapai keputusan baik dalam beberapa peperiksaan utama.

No comments:

Post a Comment